Pengenalan Silat

Assalammu’alaikum…

Kepada sekalian masyarakat, saya menyeru anda semua supaya segeralah menjadi ahli perguruan silat. Ini adalah kerana sebagai seorang Islam kita mestilah mempersiapkan diri dengan segala kekuatan. Kekuatan mental dan fizikal. Bukan hanya setakat mengejar kejayaan dalam akademik. Seperti mana yang pernah Rasullallah S.A.W. bersabda “… ajarkanlah anak-anak kamu bermain pedang, menunggang kuda, berenang dan memanah ” sebagai persediaan menghadapi musuh-musuh Islam yang sentiasa membuat rancangan untuk menjahanamkan kita Umat Islam. Dalam perguruan GayOng Kifalah, seiring dengan pembelajaran silat ( zahir) kami juga menyelitkan pelajaran Agama (batin) , Adat dan Adab Melayu. InsyaAllah dengan usaha serta irigan doa guru-guru, kita semua akan selamat di dunia dan akhirat. Wassalam….

Datok Mahaguru Syekh Buya Shamsudin Bin Ismail

Pengasas Seni Silat Pencak Gayong Kifalah

 

Sejarah Pencak Gayong Kifalah

Sejarah Asal Usul Pertubuhan Seni Silat Pencak Gayong Kifalah Malaysia Pertubuhan ini diasaskan dan didaftarkan oleh Datok Mahaguru Syekh Buya Shamsudin Bin Haji Ismail. Walaupun nama pertubuhan ini baru didaftarkan, tetapi ilmunya adalah ilmu asal dari guru-guru terdahulu. Nama asal perguruan ini terpaksa di ‘simpan’ disebabkan timbul beberapa isu semasa yang mengelirukan banyak pihak yang kurang arif mengenai persilatan.

Seni Silat Pencak bermakna gerak geri bertempur yang lakukan secara berseni, mengilat dan silau semasa menghadapi lawan. Ia juga di istilahkan sebagai permainan Gayung Tak Bersambut, yang hanya merupakan permainan zahir dan fizikal sahaja. Gerakannya bergantung kepada akal dan tipu helah seseorang pesilat sama ada semasa melangkah, mengelak dan menyerang. Kepandaian gerak Seni Silat Pencak ini diasah dengan latihan rutin yang berdisplin dan teratur, beserta semangat yang tinggi dan matlamat yang jelas.

Seni Silat Pencak ini adalah gabungan antara Silat Melayu dan Silat Minangkabau dari Pagar Ruyung. Oleh itu terdapat gerak Seni Sembah dan Langkah Bujur Serong yang mirip Silat Minangkabau.

Gayong Kifalah adalah salah satu permainan di dalam Seni Silat ini yang asal. Gayong Kifalah bermaksud permainan Gayong Bersambut yang diistilah sebagai permainan gayong secara batin beserta jurusan dan amalan kebatinan daripada ayat-ayat suci Al Quran. Kifalah adalah istilah Bahasa Arab yang bermaksud keselamatan / perlindungan. Oleh itu tujuan asal seseorang yang hendak belajar dan mengajar silat ini adalah untuk keselamatan diri, keluarga dan harta benda. Bukan berdasarkan sifat ujub, riak dan takakbur. Pada zaman dahulu Gayong Kifalah ini adalah ‘pakaian’ para wali-wali dalam perjuangan mengembangkan Agama Islam di Nusantara.