Jin Vs Perayaan

Peringatan sangat penting untuk semua pesakit dan bekas pesakit gangguan jin sempena sambutan Aidil Fitri nanti.
.
Semenjak lebih 11 tahun saya merawat masalah gangguan, saya dapati tempoh selepas berakhirnya Ramadhan adalah tempoh yang sangat sibuk bagi saya. Maksudnya setiap kali selepas sambutan hari raya Aidil Fitri, jumlah pesakit yang datang ke pusat rawatan meningkat secara mendadak. Memang sudah bertahun-tahun saya tidak dapat menghadiri open house open house yg diadakan kerana terlalu sibuk merawat.
.
Post ini saya tulis bukan untuk membolehkan saya menghadiri open house dan menziarahi kambing golek yang disediakan sebagai juadah utama, tetapi sebenarnya supaya pesakit- pesakit lebih berhati-hati supaya tidak sakit kembali atau sakit lebih teruk selepas Aidil Fitri.
.
Berikut adalah beberapa punca kenapa masalah gangguan lebih mengganas selepas Aidil Fitri:
.
1) Kadang-kala kita menjadi lalai dan lagha ketika berhari-raya. Kita tertinggal zikir-zikir amalan seharian kita. Dalam saat kita berseronok, kita terlupa sedikit kepada Allah. Ketika inilah syaitan yang selama ini tidak berjaya menembusi kubu pertahanan kita, terlihat ketirisan yang ada pada benteng kita. Maka peluang yang terhidang itu tidak syaitan lepaskan untuk menziarahi kita.
.
2) Ada di antara kita kurang arif tentang siapa yang boleh kita bersalaman semasa bermaaf-maafan. Contohnya bersalaman bersama ipar duai atau sepupu yang berlainan jantina adalah berdosa. Kadang-kadang kita tidak mampu menolak tangan bukan mahram yang ingin bersalaman dengan kita kerana niat di hati ingin menjaga air muka si penghulur tangan. Sebenarnya setiap perbuatan yang berdosa adalah pembuka pintu kemasukan syaitan. Maka setiap kali kita bersalaman dengan yang tidak sepatutnya, kita telah menjemput syaitan untuk singgah berhari raya di dalam tubuh kita.
.
3) Saat kita menyambut hari raya, tidak lengkap rasanya kalau kita tidak berbaju baharu dan menghias diri bagaikan raja dan permaisuri sehari. Tidak cukup kita memperagakan diri secara live kepada orang-orang di sekeliling kita, kita turut mengkongsikan memori indah kita di laman sosial seperti FB dan IG. Maka ramailah mata yang memandang. Ada yang memandang dengan rasa taksub dan memuji-muji kecantikan dan kesadoan kita. Tidak kurang juga yang memandang dengan rasa hasad dan mencaci kita. Kedua-dua pandangan mata ini tidak kiralah samada dari hati yang taksub mahupun hati yang hasad, mampu menghadirkan penyakit ain kepada diri kita. Ingatlah bahawa penyakit ain boleh hadir daripada ibu dan ayah sendiri kerana mereka sangat taksub dengan kecomelan anak mereka. Hati-hati dan elakkan diri daripada kita sendiri menjadi punca orang lain dihinggapi penyakit ain. Sentiasa memulangkan segala pujian kepada Allah sebelum kita memuji makhluk Allah.
.
4) Bagi mereka yang menghadapi masalah gangguan keturunan; iaitu satu masalah yang ramai tidak berani sebut tetapi hanya mampu mengeja nama masalah itu. Itulah gangguan S.A.K.A.. Ramai pesakit saka akan sakit semula setelah pulang ke kampung halaman. Ini boleh terjadi sekiranya masalah saka itu tidak dirawat sepenuhnya, iaitu mungkin masih ada jin saka di rumah kampung, masih ada barang-barang yang menjadi tempat tinggal jin saka yang masih disimpan, atau mungkin masih ada ahli keluarga yang belum dirawat sepenuhnya. Maka apabila kita pulang ke kampung, kita akan dijangkiti semula dengan jin saka. Kita tidak perlu buat apa-apa untuk diganggu semula, kita boleh terkena dengan begitu mudah seumpama jin dicaj dengan wireless charging serta jin boleh masuk dengan sangat pantas seperti secara fast charging.
.
5) Ketika kita sedang enak beramah mesra di majlis-majlis open house, ramai saudara-mara, rakan-taulan dan kenalan-kenalan baru yang kita temui. Ada juga di antara mereka yang ada sakit gangguan jin dan mereka masih belum sembuh. Sekiranya kita ini pesakit gangguan atau pernah mengalami masalah gangguan, diri kita ini umpama magnet jin. Tubuh kita mudah menarik jin daripada orang lain yang sedang diganggu jin. Tak susah sebenarnya untuk tubuh kita dimasuki oleh jin gangguan daripada orang lain. Ingatlah konsep wireless charging dan fast charging yang disebutkan tadi.
.
6) Sewaktu Ramadhan memunculkan diri, kekuatan dan penguasaan syaitan-syaitan terus dibelenggu. Namun sebelum syaitan-syaitan ini diikat dan dirantai, mereka dengan gaya macho Arnold Schwarzenegger mengatakan “I’ll Be Back”. Maka, tatkala takbir Syawal bergema, mereka pun kembali. Syaitan kembali dengan niat membalas dendam dan melepaskan geram ke atas kita. Pastinya mereka marah dan ingin membalas dendam di atas perbuatan kita melipat-gandakan amalan ibadah sedangkan mereka hanya mampu melihat dan tidak mampu untuk menghasut kita sewaktu Ramadhan.
.
Kami di Pusat Rawatan Tradisional Islam Klang mengucapkan selamat beribadah di penghujung Ramadhan yang mulia ini. Bila nak balik beraya nanti, bukan setakat berhati-hati di jalanraya ya, tetapi berhati-hatilah juga dengan hantu-hantu raya. 🤭 alaaa gurau je.
.
.
Sekiranya anda menghadapi masalah di dalam kehidupan, dibelenggu gangguan syaitan atau sihir, sila terus klik link di bawah:

hot line : 0176300672

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *