Pendamping
Perlulah diingatkan bahawa kupasan ini adalah bertujuan untuk mengenal jin. Tidak perlu berbahas dari segi hukum agama, kepercayaan sesuatu budaya dan lain-lain. Kalau nak berbahas pasal jin dari sudut agama, itu dah jadi bab lain.
Jin pendamping kebiasaannya didapati dari ilmu yang dipelajari atau diamalkan. Tidak kiralah sama ada jin itu islam atau tidak tetapi pendamping ini hanya selalu ada pada orang itu sahaja. Tugas-tugas pendamping ini tidak la sama kebolehannya. Semuanya bergantung pada tahap ilmu jin itu sendiri.
Ada orang yang memiliki pendamping diri tanpa dia sedari kerana mereka beranggapan tidak pernah meminta pendamping dari sang guru atau diberitahu oleh gurunya sendiri. Kebanyakan mereka tidak tahu hal itu kerana mereka menuntut sesuatu ilmu dan menjadikan amalan sebagai medium mendekatkan diri kepada Tuhan.
Ada juga yang mendapat pendamping diri melalui ilmu persilatan tertentu dan kebiasaannya pendamping orang bersilat ini dari jenis haiwan seperti harimau dan naga siluman. Sebab itu tidak hairan lah bagi masyarakat kita kalau terdengar orang itu memiliki harimau putih atau harimau berantai kerana pernah mempelajari ilmu silat.
Tetapi bukanlah semua orang mampu mendapatkan pendamping dari jenis haiwan walaupun dia mempelajari ilmu persilatan kerana masih banyak lagi pendamping yang lain juga dan pendamping ini sebenarnya memilih juga keserasiannya dengan seseorang itu sebelum menjadi pengikutnya.
Jika seseorang itu memiliki pendamping kiyai, Shaikh atau cenderung kepada agama, maka seseorang itu biasanya cenderung untuk fokus kepada amalan-amalan zikir, puasa, pata geni, bertapa seorang diri, sering menerima khazanah secara ghaib, mampu menzahirkan barang yang ghaib ke alam nyata, menjadi kebal, mempunyai tenaga batin yang tinggi, pandangan makrifat yang tepat, mengetahui sesuatu yang bakal berlaku dan sebagainya.
Kesemua kebolehan ini hanya ada pada orang itu sahaja dan pendamping ini tidak sekali-kali boleh diwarisi kepada keturunannya kerana kehadiran pendamping ini tidak bersyarat. Mereka boleh datang dan pergi pada bila-bila masa saja sesuai dengan perjalanan amalan seseorang itu.
Pendamping diri juga hanya menjaga keselamatan hal ehwal orang itu sahaja dan mampu juga melawan sesiapa sahaja yang mengganggu tuannya itu walaupun dari kalangan keluarga sendiri.
Pendek kata, walau siapapun yang mengganggu dan mengundang kemarahan orang itu, maka pendamping ini akan segera menjadi benteng pertahanan dan bertindak atas kemahuan orang itu sendiri.
Sebab itu, pernah kita lihat ada orang yang tiba-tiba hilang kawalan diri dan sanggup membunuh sesiapa sahaja walaupun keluarga sendiri.