Sihir
Sihir boleh didefinisikan sebagai apa juga yang dapat dilakukan oleh seseorang (secara rahsia) dengan pertolongan syaitan, setelah orang itu memenuhi kehendak syaitan tersebut dengan melaksanakan sesuatu yang dikehendaki oleh syaitan, sebagai tanda atau isyarat ‘taqarrub’ kepada syaitan tersebut.
Berdasarkan definisi di atas, sihir mempunyai beberapa ciri utama iaitu:
- Adanya peranan syaitan atau jin [kafir]. Ini sesuai dengan kejadian syaitan (api) atau jin (lidah api) yang bertubuh ‘halus’ seperti angin dan tidak dapat dilihat. Oleh itu, pelbagai kerja jahat menjadi rahsia dan tidak dapat diketahui oleh kebanyakan manusia.
- Adanya kesan yang luar biasa, menakjubkan, misteri atau menghairankan.
- Adanya kerjasama antara manusia yang jahat (tukang sihir, pawang jahat dan dukun jahat) dengan syaitan atau jin. Kedua-dua belah pihak akan memainkan peranan masing-masing, di mana manusia akan menyediakan pelbagai alatan sihir yang memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh syaitan atau jin yang menjadi rakan kongsi. Jin dan syaitan pula akan menjalankan kerja-kerja jahat seperti mana yang dirancangkan bersama.
- Adanya pelbagai syarat, pantang larang yang ditetapkan oleh syaitan atau jin yang dipersetujui oleh manusia.
- Adanya unsur-unsur pemujaan manusia terhadap syaitan atau jin.
Nabi Muhammad SAW sendiri pun yang maksum daripada melakukan dosa, Allah uji dengan sihir yang dihantar oleh seorang Yahudi yang bernama Labid bin Aksam dari Bani Zuraiq.
Peristiwa ini berlaku ketika Nabi SAW balik dari Hudaibiah dalam bulan Zulhijjah tahun tujuh hijriah. Setelah selesai perang Khaibar maka datanglah ketua-ketua Yahudi bertemu seorang tukang sihir Yahudi yang terkenal dalam kalangan mereka Labid bin Aksam, bertujuan untuk melakukan sihir ke atas Nabi SAW.
Dengan kerjasama daripada seorang budak Yahudi yang juga khadam nabi, mereka mencuri sikat rambut Nabi SAW bersama rambut yang terdapat pada gigi sikatnya.
Tukang sihir membuat patung berupa Nabi SAW daripada lilin, lalu ditikam dengan 11 bilah jarum dan disimpul dengan 11 ikatan. Maka dicampakkan ke dalam telaga keluarga Zarwan di mana telaga Nabi SAW selalu mandi.
Baginda terkena sihir selama 40 hari sehinggalah perbuatan jahat itu berjaya dikesan dan ditemui barangan sihir. Dengan sirah yang diceritakan boleh menjadi panduan kepada umat Islam untuk mengubati sihir itu hanya dengan doa dan ayat-ayat al-Quran. Hukum perbuatan sihir dalam Islam adalah berdosa besar.
Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda bermaksud “Jauhilah tujuh jenis dosa besar yang membinasakan. Sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah dosa itu? Sabda Baginda: Menyekutukan Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan melainkan dengan alasan benar, makan riba, makan harta anak yatim, lari daripada perang dan menuduh wanita muhsan beriman yang tidak bersalah dengan tuduhan zina.”